Susu ibu adalah makanan yang terbaik untuk bayi anda kerana ia kaya dengan zat makanan dan antibodi.
Namun begitu, mulai umur 6 bulan makanan tambahan perlu diperkenalkan kerana susu ibu sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanan bayi.
Pengenalan makanan tambahan perlu dilakukan secara beransur-ansur daripada diet berasaskan susu sahaja kepada campuran diet yang mengandungi susu dan makanan pejal.
Kegagalan memperkenalkan makanan tambahan mengikut saranan boleh merencatkan pertumbuhan bayi anda dan kesan jangkamasa panjang boleh menyebabkan kegagalan tumbesaran (Failure To Thrive).
Tanda-tanda bayi anda sudah bersedia menerima makanan tambahan :
1. Bayi anda boleh menegakkan kepalanya bila didudukkan. Jika tidak dia masih belum bersedia untuk disuapkan.
2. Pergerakan refleks lidah bayi anda (pergerakan ke depan dan ke atas) telah berakhir dan bayi boleh menggerakkan lidahnya ke hadapan, belakang, atas dan bawah.
3. Bayi mula mencapai dan menunjukkan minat pada makanan di meja makan.
4. Selalu menangis di antara waktu makan. Menunjukkan pemberian susu sahaja tidak mencukupi.
DIGALAKKAN:
- Mulakan dengan makanan berasaskan beras. Sebaik-baiknya yang diperkaya dengan zat besi.
- Perkenalkan satu jenis makanan baru pada satu masa (sekurang-kurangnya 4 hari) untuk bayi menerima dan membiasakan diri dengan makanan tersebut. Ini juga dapat memberikan anda masa untuk mengenalpasti makanan yang menyebabkan alahan pada bayi.
- Mulakan ¼ hingga ½ sudu kecil apabila memperkenalkan rasa dan tekstur yang baru. Jika bayi tidak suka makanan baru, cuba campurkan dengan susu, bubur nasi atau bijirin bayi.
- Hidangkan makanan kepada bayi anda di dalam pinggan atau mangkuk khas yang mempunyai gambar dan warna yang menarik untuk menggalakkan dia makan.
- Duduk bersama bayi semasa waktu makan sebagai satu cara untuk menggalakkannya makan.
PERINGATAN!
1. Elakkan gandum, barli dan oat sehingga bayi mencapai umur 8-10 bulan.
2. Putih telur boleh diperkenalkan apabila bayi mencapai umur 10 bulan -1 tahun.
3. Jangan elakkan makanan tertentu kepada bayi anda hanya kerana anda tidak
menyukainya. Berikanlah makanan tambahan yang lebih banyak variasi.
4. Jangan paksa bayi untuk menghabiskan makanan kerana dia mungkin telah kenyang.
5. Jika bayi anda berasa lapar, jangan tangguh terlalu lama untuk memberikan makanan. Ini akan menyebabkan dia hilang selera makan.
6. Elakkan daripada memberi makanan semasa bayi mengantuk.
7. Jangan berikan makanan yang boleh menyebabkan bayi tercekik seperti kekacang.
8. Makanan bergoreng hanya dibenarkan selepas umur 10 bulan.
9. Gula tidak perlu ditambah ke dalam makanan bayi anda sehingga berumur 1 tahun
kerana ia hanya memberi tambahan kalori tanpa nutrien.
10. Elakkan penambahan garam ke dalam makanan pelengkap bayi sehingga berumur 1
tahun kerana ia akan membebankan buah pinggang bayi.
Semoga membantu! :)
Source: Perkhidmatan Dietetik dan Sajian, Kementerian Kesihatan Malaysia




No comments:
Post a Comment